Tuesday 27 December 2011

renungan bersama...


Pada suatu hari seekor anak kerang di dasar laut mengadu dan mengeluh pada ibunya sebab sebutir pasir tajam memasuki tubuhnya yang merah dan lembut. “Ibu,tubuhku terasa sakit ibu”,kata nak kerang tersebut. “Wahai anakku, bersabarlah. Seandainya ibu mempunyai tangan,sudah lama ibu membantumu”, kata sang ibu sambil bercucuran air mata. Hati si ibu mana yang akan berasa tenang apabila melihat anaknya dalam keadaan sakit?
Si ibu terdiam sejenak, “Anakku, ibu tahu bagaimana rasa sakitnya tetapi kamu harus menerimanya sebagai satu takdir. Kuatkan dirimu, tabahkan hatimu dan kerahkan semangatmu melawan rasa sakit yang menggigit itu. Balutlah pasir itu dengan getah perutmu, agar ia tidak terasa terlalu sakit”, kata ibunya dengan hati yang pilu.
Anak kerang itu pun melakukan apa yang disuruh oleh ibunya. Alhamdulillah ada kurangnya rasa sakit itu. Sedang dia di dalam kesakitan, dia menafikan nasihat ibunya. Dia menahan kesakitan itu dengan titisan air mata selama bertahun-tahun lamanya. Tanpa disedarinya sebutir mutiara mulai terbentuk dalam dagingnya. Semakin lama semakin halus. Rasa sakit itu pun semakin berkurang. Lama-kelamaan mutiara yang tumbuh di dalam dagingnya itu semakin membesar.
Akhirnya sesudah sekian lama, sebutir mutiara besar mulai kelihatan, terang bersinar, dan kelihatan lebih berharga daripada segala-galanya. Penderitaan yang dihadapi sebelumnya berubah menjadi satu kebanggaan. Titisan air matanya berubah menjadi sangat berharga. Dirinya kini adalah bergelar “MUTIARA”.
Cerita di atas adalah sebuah paradigma yang menjelaskan bahawa ujian adalah lorong terbaik dalam membentuk sesuatu yang luar biasa. Kini, anak kerang tersebut lebih berharga daripada kerang yang selainnya kerana dia telah berjaya mengharungi keperitan yang melanda. Dalam hal ini dapat dilihat dengan jelas bahawa segala kesenangan dan kebahagiaan akan diperoleh apabila terdapat ujian-ujian yang mendidiknya.
Jadi bersabarlah dalam mengharungi apa jua keadaan dan jadilah orang yang tenang apabila berhadapan dengannya kerana setiap perkar yang berlaku itu terdapat hikmahnya. Cuma ia memerlukan masa sahaja bagi memperolehinya. Bersyukurlah kerana Allah tidak menguji hambanya kini dengan ujian-ujian yang hebat seperti hamba-hambanya yang tedahulu. Sekian. Wallahuaalam.

No comments:

Post a Comment