Sunday 13 October 2013

TEKS UCAPAN PENGERUSI MAJLIS (contoh)

p/s : sekadar perkongsian picisan untuk rujukan sahabat-sahabat lain. Sebarang persamaan nama penceramah, tajuk seminar, jawatan dan lain-lain tidak ada kaitan dengan mana-mana individu. Jika ada, ianya kebetulan dan takdir semata.


TEKS UCAPAN PENGERUSI MAJLIS
“SEMINAR MENJADI MUSLIMAH HEBAT IQ, EQ DAN SQ
DARI KACA MATA ISLAM”
Bismillahirrahmanirrahim.

Mengumumkan ketibaan Yang Berhormat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri  dengan diiringi dif-dif kehormat untuk masuk ke dalam dewan. 

Hadirat mohon berdiri.
Majlis diteruskan lagi dengan nyanyian lagu Negaraku beserta alunan bacaan Asmaul Husna.
Hadirat dipersilakan duduk.

Melayang serindit di atas permatang,
Merbah berkicau di hujung muara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

Majlis mengalu-alukan ketibaan,
·         
  Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri A, Yang Dihormati Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Selangor (JAKIM), Puan, Yang Dihormati Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Puan C, Yang Dihormati Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Puan Hajjah , Yang Berbahagia Dato’ Ustazah  F,   Yang Dihormati Profesor Madya Dr D, Yang Dihormati Timbalan Rektor ................., Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),Dr. G,   Yang Dihormati Penolong Ketua Seksyen Hal Ehwal Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Puan J,  Yang Diraikan, pensyarah, kakitangan KUIS, barisan Majlis Perwakilan Pelajar, puan-puan, mahasiswi seterusnya hadirat sekalian.

Merah menyala si bunga raya,
Biarkan ia mekar di sana,
Izinkan saya mula bicara,
Agar manfaat diperoleh bersama
.

Rabbishrohlisodri wa yassirli amri wahlul uqdatamillisani yafqahu qauli.
Assalamualaikum warahmatullahi wa Baraka tuh

Hadirat yang dikasihi Allah sekalian

Sabda Rasulullah sallahu alaihi wasallam : Maksudnya : “Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: majlis-majlis ilmu.”  (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Hadirat sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama dalam seminar “Menjadi Muslimah Hebat IQ, EQ dan SQ Dari Kaca Mata Islam ”. Untuk pengetahuan hadirat, objektif seminar ini diadakan adalah untuk memberi maklumat serta tips menjadi muslimah hebat pelbagai aspek di samping mendengar sendiri pengalaman berharga daripada para pembentang. Selain itu, ianya juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai masalah sosial yang kian tenat saban hari.

Bagi memberkati lagi majlis ini, marilah kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan diketuai oleh Saudari ....
Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Saudari .....  di atas bacaan doa penuh syahdu itu tadi.

Tanpa melengahkan masa lagi, majlis menjemput wakil penganjur seminar kali ini, Yang Dihormati Penolong, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Puan ..... bagi menyampaikan sepatah dua kata.

Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan

Terima kasih kepada Yang Dihormati Penolong Ketua ........, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Puan ... atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Kini,tibalah masanya untuk kita sama-sama mendengar ucapan perasmian bagi seminar “ Menjadi Muslimah Hebat, IQ,EQ dan SQ Dari Kaca Mata Islam” yang akan disampaikan oleh Yang Berhormat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri A.

Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Yang Berhormat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri A di atas ucapan perasmian yang disampaikan sebentar tadi.

Hadirat sekalian,

Tak kenal maka tak cinta. Sebelum menjemput penceramah pertama, moleklah kita berkenal-kenalan dahulu dengan wanita berjiwa besar ini.

[Biodata penceramah 1]

Merupakan seorang isteri, ibu, doktor, pendidik dan penulis. Wanita yang berasal dari .................r ini, juga turut aktif melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan khususnya mengenai kesihatan,remaja,wanita dan keluarga. Berbekalkan semangat dan azam yang membara, setelah berjaya memperoleh Ijazah Doktor dari ................, beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Kepakaran ................ Setelah itu, .

Berpengalaman sebagai ............... beliau kemudiannya bertugas sebagai ................. Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia hanya Tuhan yang tahu. Tidak lama selepas itu, beliau ditawarkan jawatan yang sama di salah satu ........... Beberapa tahun kemudian, beliau dilantik sebagai ............
Ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga pernah menjadi tetamu jemputan rancangan Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, (WHI), Al-Kuliyyah dan Al-Hidayah di TV3, Keluarga di 9, Nasi Lemak Kopi O, Halaqah di TV9 serta Selamat Pagi Malaysia dan Fast Forward menerusi RTM. Beliau juga merupakan panel berkala Wanita Hari Ini di radio IKIM, motivator di radio KL.fm dan kolumnis beberapa majalah tempatan.

Beliau yang gemar melakukan aktiviti sukarelawan dan terjun membantu masyarakat turut dikenali dengan program.................. Oleh itu tidak hairanlah beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Saidatina Khadijah pada .......................... sebagai mengiktiraf segala usaha dan jasa beliau membantu masyarakat.

Dengan ini majlis menjemput Yang Dihormati Profesor Madya Dr sebagai penceramah pertama bagi seminar “Menjadi Muslimah Hebat IQ, EQ dan SQ Dari Kaca Mata Islam”.

Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati Profesor Madya Dr atas pembentangan yang sungguh bertenaga tadi. Banyak input-input baru yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Hadirat sekalian.

Secangkir teh pengubat letih. Dengan ini majlis akan berhenti berehat seketika untuk memberi laluan kepada sesi minum pagi. Diharap hadirat dapat memenuhi dewan ini sebelum jam 11.30 pagi.

Dijemput Yang Berhormat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri  dan dif-dif kehormat menjamu selera di bilik santapan BT.

Majlis diteruskan lagi dengan penceramah kedua.

[Biodata penceramah ke-2]

Dilahirkan pada tahun ........ di ...... dan mendapat pendidikan awal di ..............., Kedah.Melanjutkan pendidikan di Universiti ............... dalam jurusan .................. Memulakan karier sebagai seorang pendakwah yang berkebolehan. Berbekalkan ilmu, pengalaman serta teknik penyampaian yang berkesan, merupakan aset utama beliau dikenali ramai dalam kalangan masyarakat. Beliau sangat komited terhadap bidang pendakwahan secara profesional. Sering muncul dalam program televisyen, radio, majalah, akhbar dan menjadi duta pelbagai produk. Malah, suami beliau iaitu Ustaz W juga merupakan seorang penceramah agama dikenali ramai dan sering muncul di program televisyen dan majalah. Rancangan televisyen ..............., gandingan beliau dan suami mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar .............. Beliau juga merupakan kolumnis di Majalah ...... dan lain-lain lagi. Telah menghasilkan 40 album pelbagai tajuk ceramah agama, motivasi dan tips dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Beliau juga mengarang 8 buah buku yang cukup bernilai.

Dengan ini majlis mempersilakan Yang Berbahagia Dato’ Ustazah untuk menyampaikan ceramah beliau.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Ustazah   di atas penyampaian yang cukup menarik sebentar tadi. Diharap ilmu serta tips yang dikongsi tadi dijadikan panduan hadirat sekalian.

Sampan kolek dari Pahang,
Biduk lalu sampai muara,
Segala juadah sudah terhidang,
Tibalah masa menjamu selera.

Majlis berhenti rehat seketika untuk memberi ruang kepada jamuan tengah hari dan solat zohor. Majlis akan bersambung semula pada jam 2.00 petang dengan sesi soal jawab diikuti sesi sembang santai bersama selebriti terkenal, WS.

Majlis ditangguhkan dengan Tasbih Kafarah dan surah Al-Asr.

Dijemput Yang Berhormat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri A dan dif-dif kehormat diiringi hadirat sekalian untuk menikmati jamuan tengah hari yang telah disediakan.




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



KONSEP AL-HAKIMIYYAH MENURUT IKHWAN MUSLIMIN : PENGARUHNYA KEPADA PAS

p/s : bukan untuk di copy paste tetapi sekadar membantu dalam meningkatkan kefahaman dan rujukan pembacaan

1.0              SIAPAKAH IKHWAN MUSLIMIN?

      1.1   Latar Belakang Penubuhan Ikhwan Muslimin

Ikhwan muslimin merupakan gerakan islam antarabangsa terawal yang ditubuhkan pada tahun 1928 oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna. Melihat kepada keadaan masyarakat dan umat Islam yang sangat lemah imannya maka, beliau merasakan bahawa kegemilangan islam perlu dikembalikan dengan pengislahan yang bermula dari bawah perkara asas iaitu tauhid. Pada masa yang sama, menjadikan Al-Quran dan Sunnah rujukan setiap perkara. Maka tidak hairanlah, pemikiran Ikhwan terpancar melalui peribadi ahlinya yang sering bersama Al-Quran. Ini kerana, masyarakat ketika itu tidak lagi menjadikan Allah sebagai tujuan hidup bahkan memisahkan urusan dunia dan akhirat. Ideologi sekularism menyerap masuk ke dalam masyarakat dengan begitu halus sekali. Oleh itu, beliau mengumpulkan beberapa individu lalu membuat kumpulan kecil dikenali sebagai usrah. Di mana ianya turut pernah dilakukan ketika zaman Rasulullah saw, di rumah Arqam bin Abi Arqam.

1.2 As-Syahid Imam Hasan Al-Banna

Nama penuh beliau ialah Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman. Beliau dilahirkan di
bandar Mahmudiah (Berdekatan Iskandariah) pada tahun 1906. Beliau menamatkan pengajian di Sekolah Dar al-Ulum, Kaherah dan kemudian bertugas sebagai pengajar yang sering berpindah dari satu bandar ke satu bandar. Beliau mengajak umatnya supaya mengamalkan al-Quran al-Karim dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w.. Melalui usahanya ini beribu-ribu mahasiswa, buruh, peladang dan daripada pelbagai lapisan masyarakat mendapat hidayah. Setelah itu, beliau menetap beberapa ketika di bandar Ismailiah. Di sini beliau menubuhkan pejabat pertama Ikhwan bersama-sama beberapa orang anggota ikhwan lain.

Usaha beliau melangkah setapak lagi apabila beliau mula mengadakan sesi ceramah serta menyebarkan bahan cetak. Malah beliau mula mengadakan lawatan ke beberapa bandar dan desa. Kesannya di setiap daerah akhirnya wujud sebuah pusat dakwah. Dakwah beliau juga bukan terhad untuk golongan lelaki sahaja malah di Ismailiah beliau menubuhkan Maahad Ummahat al-Muslimin bertujuan memberikan didikan Islam untuk anak-anak perempuan. Tidak beberapa lama kemudian beliau berpindah ke Kaherah. Dengan perpindahan ini bermakna ibu pejabat dan pusat pentadbiran juga berpindah ke Kaherah. Di sini dakwah beliau semakin menyerlah. Ikhwan semakin berkembang dan jumlah mereka kini mencecah setengah juta orang. Ahli politik dan kuncu-kuncu mereka mula bimbang dengan pengaruh al-Syahid. Oleh itu mereka berusaha menyingkirkannya dari medan politik. Namun segala usaha ini tidak mampu menggugatkan keazaman beliau. Beliau bangkit memperkenalkan Islam kepada seluruh manusia bahawa Islam mencakupi akidah, ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya dan undang-undang. Akhbar Ikhwan Muslimin yang diterbitkan setiap hari mula dilancarkan di
Kaherah. Akhbar ini menjadi wahana dalam bentuk penulisan selain ceramah yang
diadakan.

Ketika krisis Palestin meletus, pasukan tentera Ikhwan merupakan pasukan sukarelawan yang paling aktif. Mereka berjaya mara hingga hampir memasuki Tel Aviv. Malangnya pihak pemerintah ketika itu Raja Farouq telah mengkhianati perjuangan ini apabila beliau menandatangani perjanjian damai dan bertindak menahan pemimpin-pemimpin Ikhwan. Tindakan jahat pihak penjajah tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka mula merancang untuk membunuh al-Banna. Ketika al-Banna berada di hadapan ibu pejabat Pertubuhan Pemuda Islam di Kaherah mereka melepaskan beberapa das tembakan dan kemudian melarikan diri. Malangnya tidak siapa yang merawat al-Banna. Beliau dibiarkan terlantar di lantai hospital dengan keadaan darah yang masih mengalir. Mereka hanya menonton tanpa merasa belas kasihan dan berhati perut. Saudara-mara terdekat juga dilarang melawat. Akhirnya selepas dua jam, beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1949.

Seorang wartawan telah bertanya Al-Banna tentang dirinya dan meminta beliau memperkenalkan dirinya sendiri kepada orang ramai. Beliau berkata:
“Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naunagan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: sembahyangku,ibadahku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.”

Itulah As-Syahid Imam Hasan Al-Banna. Beliau yang dikasihi Allah telah mengabadikan beberapa tulisan yang amat berharga, antaranya Muzakirat al-Dakwah wa al-Da‘iyah dan beberapa risalah.

1.3 Dakwah Ikhwan

Ciri-ciri utama dakwah Ikhwan Muslimin ialah:
        i.            Dakwah ini bersifat rabbani kerana asas yang menjadi fokus keseluruhan matlamat ialah mengajak manusia supaya mengenali tuhan mereka. Agar melalui hubungan ini mereka memperolehi nilai kerohanian murni yang akan memartabatkan jiwa mereka daripada kekangan materialistik kepada jiwa seorang manusia yang suci dan murni. Jadi, matlamat pertama dakwah ini ialah mengajak manusia mengingati semula hubungan mereka dengan Allah. Pada hakikatnya,inilah kunci kepada seluruh masalah manusia yang sekian lama dikongkong oleh sifat jumud dan materialistik.

      ii.            Dakwah bersifat sejagat kerana dakwah ini ditujukan kepada seluruh manusia atas dasar semua manusia adalah saudara. Kemuliaan mereka hanya berdasarkan kepada ketakwaan serta amal kebajikan yang mereka sumbangkan kepada manusia. Ikhwan Muslimin tidak menerima semangat perkauman dan juga tidak akan meniupkan semangat perkauman berteraskan kaum dan warna kulit. Sebaliknya akan mengajak manusia ke arah semangat persaudaraan yang sejati sesama manusia.
“Allah adalah matlamat kami, Rasul adalah ikutan kami, Al-Quran adalah panduan kami, jihad adalah jalan kami dan mati syahid adalah cita-cita kami”.  Itulah yang menjadi tunjang atau moto Ikhwan Muslimin yang juga ditekankan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna kepada ahli Ikhwan. Gerakan ini tidak mengambil berat akan ganjaran atau balasan yang akan diperoleh daripada manusia, mereka menyerahkan segala ganjaran hasil usaha kepada Allah semata-mata.Bahkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sering mengingatkan setiap ikhwan agar sentiasa ikhlas dan thabat dalam menjalankan kerja-kerja islam. Setiap kerja dakwah yang dilakukan adalah untuk kemaslahatan ummah. Mereka menyerahkan seluruh kehidupan, masa, wang, tenaga dalam memerangi jahiliyyah dan membina manusia Rabbani.
Pada Disember tahun 2010, dunia dikejutkan dengan Kebangkitan Revolusi Arab di timur tengah dan Afrika Utara. Mesir turut tidak ketinggalan bangkit setelah sekian lama mendiamkan diri dan melakar sejarah Revolusi Mesir pada awal tahun 2011. Setelah Presiden Hosni Mubarak secara rasminya berundur dan meletakkan jawatan pada Februari 2011, pilihan raya baru Mesir pun bermula. Pada tanggal 21 Jun 2011, dunia dikejutkan sekali lagi dengan kemenangan ahli Ikhwan, Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baharu menggantikan pemerintah diktator, Hosni Mubarak. Kemenangan calon Ikhwan Muslimin dalam pilihan raya telah mengejutkan ramai pihak sama ada penganalisa politik, media massa, musuh islam dan masyarakat umumnya. Setelah puluhan tahun mereka mengalami penindasan seksaan dan dipenjarakan kerana memperjuangkan Islam yang syumul, kini Ikhwan Muslimin telah mengorak langkah setapak lagi dalam fasa Kerajaan Islam, menghampiri fasa Daulah Islamiyyah yang digariskan dalam maratib amal dan menuju ke arah Ustaziyyatul Alam yang mana sistem Islam bakal mendominasi dunia.
Dakwah dan manhaj Ikhwan Muslimin yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah telah mempengaruhi banyak gerakan Islam seluruh dunia termasuk Malaysia. Ikhwan Muslimin menjadi qudwah dan contoh dalam menegakkan konsep hakimiyyah.

2.0  SIAPAKAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)?

2.1 Sejarah penubuhan PAS

Pada 23 Ogos 1951,sejarah tercipta apabila para ulama bersidang di Kuala Lumpur. Keputusan dicapai dan semua bersepakat untuk menubuhkan sebuah persatuan iaitu Persatuan Ulamak Se-Malaya. Namun pada 24 November 1951, namanya ditukar kepada Parti Islam Se-Malaya ketika persidangan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil atau kini dikenali dengan nama Butterworth. PAS menerima pengaruh daripada pelajar yang pulang dari Timur Tengah membawa kesedaran akan pentingnya menubuhkan jemaah di Malaysia bagi menyatu padukan umat islam. Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jemaat Islami di Pakistan antara gerakan islam yang mendorong kepada penubuhan jemaah di Malaysia. Hasil daripada kesedaran yang timbul, Majlis Tertinggi Agama Malaya ditubuhkan pada tahun 1947. Setahun kemudian, tertubuhnya Hizbul Muslimin melalui usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur, impak daripada penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Sepanjang tahun 1948 hingga 1950, para ulamak berhadapan dengan pelbagai konflik dan karenah politik yang tidak mengikut landasan Islam. Maka, oleh itu, para ulamak bersepakat untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai, telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ‘Manifesto Al-Badawi’ dengan tema “Ulamak Ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan penubuhan PAS pada 24 November 1951. Maka, mereka memutuskan untuk menjadikan PAS sebagai parti politik islam yang memperjuangkan kemerdekaan dan konsep hakimiyyah berlandaskan syariat Islam.

2.2 Matlamat penubuhan
Setiap organisasi mempunyai matlamat dan tujuan ditubuhkan,antara matlamat PAS ialah:
·         Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
·         Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.0  KONSEP HAKIMIYYAH

Berasal daripada perkataan Bahasa Arab, hakama iaitu memerintah atau menguasai. Memandangkan pemikiran Ikhwan Muslimin banyak mempengaruhi tokoh-tokoh melalui buku Syed Qutb, secara tidak langsung ianya mempengaruhi perlaksanaan PAS dalam mencapai matlamat mereka. Konsep Uluhiyyah dari sudut Hakimiyyah menjadi keutamaan Syed Qutb, dalam mengarang buku-bukunya seperti Ma’alim fi Al-Tariq, Hadha Ad-Deen dan Khasa’is al-Tasawwural-Islamiyy.
Walau bagaimanapun, konsep Uluhiyyah  yang dihuraikan oleh Syed Qutb dari sudut Hakimiyyah dan Tasyri’ ini pun tidak lari daripada asas yang menjadi pegangan. Abu A`la Al-Maududi dalam Mustalahat Al-Arba’ah fi Al-Quran mengatakan bahawa al-Ilahiyyah menurut beliau bermaksud Al-Ma’bud. Sedangkan intipati kepada persoalan dan hak Uluhiyyah ialah al-sultan. Ia bermakna penguasa yang berkuasa sama ada dari sudut sumber tertinggi yang menguasai hukum dan peraturan alam, ataupun hukum serta peraturan di dunia yang menuntut ketaatan daripada manusia. 
Ÿxsù... (#âqt±÷s? }¨$¨Y9$# Èböqt±÷z$#ur Ÿwur (#rçŽtIô±n@ ÓÉL»tƒ$t«Î/ $YYyJrO WxŠÎ=s% 4 `tBur óO©9 Oä3øts !$yJÎ/ tAtRr& ª!$# y7Í´¯»s9'ré'sù ãNèd tbrãÏÿ»s3ø9$# ÇÍÍÈ  
44. …..oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu Dengan harga Yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

4.0  KONSEP AL-HAKIMIYYAH MENURUT IKHWAN MUSLIMIN DAN PENGARUHNYA KEPADA PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)

Bekas pemangku Yang Dipertua, Profesor Dr. Zulkifli Muhammad (1963-1964) dan bekas Yang Dipertua, Haji Yusuf Rawa ( 1982-1988) merupakan antara golongan terawal yang mendapat pendedahan pemikiran Ikhwan Muslimin. Mereka mengikuti pemikiran ini sejak akhir tahun 1940-an. Zulkifli mengikutinya sewaktu menuntut di mesir sewaktu Hassan Al-Banna masih hidup. Sementara Haji Yusuf Rawa pula mengikutinya ketika belajar di Mekah pada waktu yang sama. Pada awal tahun 1950-an,  setelah kepulangannya ke Malaysia, beliau turut membantu menyebarkan pemikiran tersebut melalui penerbitan majalahnya al-Islah di Pulau Pinang. Menurutnya, penerbitan majalah itu bertujuan menyebarkan pemikiran terutamanya dari Ikhwan Muslimin dan Jama’at Islami. Bekas Setiauasaha Agung PAS (1969-1973), Ustaz Abu Bakar Hamzah, juga turut menyatakan pemikiran Ikhwanul Muslimin tersebar di Malaysia sejak awal tahun 1950-an. Beliau sendiri mengikutinya sejak dari tahun 1952 melalui buku dan majalah Ikhwan yang sampai ke sini. Antara mereka yang bertangunggjawab dalam penyebaran ini ialah A.Hassan Bandung, Sheikh Abdullah Basmeh dan Allahyarham Syed Jaafar Albar. Setelah menjawat jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat, Abu Bakar beusaha menerapkan pemikiran Ikhwan Muslimin dalam kalangan anggota Pemuda.  Sebagai Ketua Pemuda PAS, Abu Bakar dipilih menyertai PAS ke Persidangan Afro-Asia di Kaherah. Di sana, beliau berpeluang bertemu empat mata dengan beberapa individu yang mempunyai kaitan rapat dengan Ikhwan Muslimin dan menasihatkan beliau supaya PAS mengadakan hubungan dengan Ikhwan.
Maka, pada tahun 1963, ketika PAS dibawah pimpinan Profesor Dr Zulkifli Muhamad beliau telah menghantar Haji Yusuf Rawa seorang Ahli Jawatankuasa Agung PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Dalam misi tersebut, beliau telah melawat Mesir dan Iraq. Ketika di Iraq, beliau bertemu dengan Menteri Wakaf yang merupakan anggota Ikhwan. Hasil daripada pertemuan tersebut, menteri berkenaan bersetuju menawarkan sepuluh biasiswa Kementerian Waqaf Iraq untuk pelajar Malaysia. Urusan pemilihan pelajar-pelajar tersebut diserahkan kepada PAS. Di sinilah bermulanya bimbingan Ikhwan secara ‘formal’. Buktinya, menurut Ustaz Hassan Shukri, Naib Presiden PAS yang merupakan salah seorang antara sepuluh pelajar yang mendapat biasiswa mengatakan bahawa dalam tempoh pengajian di Baghdad antara tahun 1964 hingga 1968, mereka mendapat bimbingan secara langsung daripada tokoh Ikhwan. Pulangnya beliau daripada Iraq, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat. Dalam melaksanakan amanah yang diberi, beliau cuba mengindoktrinasikan para pemudanya dengan pemikiran Ikhwan khususnya melalui program tarbiyyah. Namun begitu, usaha tarbiyyah sebagaimana yang dilakukan oleh Ikhwan tidak disokong oleh pimpinan PAS di bawah Dato’ Asri Haji Muda. Pada tahun 1983, Dato’ Asri mengundurkan diri daripada kepimpinan PAS. Pada muktamar sanawi PAS tahun yang sama, satu era baru bermula, iaitu zaman kepimpinan ulama. Dengan itu, pemikiran Ikhwan dapat kembali berkembang dalam PAS. Di bawah kepimpinan baru, program tarbiyyah merupakan program utama. Antara individu yang bertangunggjawab menggerakkan program ini ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Haji Yahya Othman.
Selain itu,bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Haji Nik Abdul Aziz juga turut berperanan menyebarkan pemikiran Ikhwan Muslimin. Menurut beliau, pemikiran Syed Qutb iaitu salah seorang anggota Ikhwan Muslimin telah lama diikutinya semenjak menuntut di India melalui seorang Ikhwan, Abdul Mun`im al-Namir yang menjadi tenaga pengajar di tempatnya, Darul Ulum. Ketika itu, buku Al-`Adalah Al-Ijtimai`yyah fi Al-Islam karangan Syed Qutb dijadikan teks pengajian Bahasa Arab di situ. Pada tahun 1958,  beliau berkesempatan membaca Tafsir Fi Zilal Quran yang mana ianya memberi kesan kepada beliau mengenai konsep Islam sebagai ad-Deen dan al-Hakimiyyah tuntutan Tauhid.
Pada masa yang sama, Salahuddin bin Abdullah, bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan turut terkesan lalu menyebarkan pemikiran hakimiyyah ini di Kelantan. Beliau mendapat bimbingan pemikiran Ikhwan dari Profesor Abdul Qahar Muzakkir sewaktu menuntut di Universiti Islam Indonesia, Jogjakarta pada tahun 1955 hingga 1959. Salahuddin banyak menterjemahkan karya-karya Sayyid Qutb, terutama buku Ma’alimfi Al-Tariq. Penterjemahan karya-karya ini dimuatkan dalam majalah-majalah Pengasuh, terbitan Haji Yusuf Rawa, Pulau Pinang.



Kesimpulannya pemikiran Ikhwan telah mempengaruhi tokoh-tokoh awal PAS melalui cara dan tempat yang berbeza. 




Rujukan: 

    1.      Ust Salehan bin Ayub. 2003. Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna. cetakan pertama. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.
    2.      Mohamad Fauzi Zakaria. 2007. Pengaruh Pemikiran As-Syahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam Di Malaysia. Cetakan pertama. Kuala Lumpur : Jundi Resources.
    3.      Syed Qutb. 2009. Petunjuk Sepanjang Jalan. Cetakan pertama. Seri Kembangan: Konsis Network.
    4.      PAS. http://pas.org.my. Ogos 2012
    6.      Wikipedia. http://en.wikipedia.org/wiki/Mohamed_Morsi.Ogos 2012