Tuesday 6 March 2012

MENGAPA SEORANG PELAJAR PERLU MEMPUNYAI KEMAHIRAN KOMUNIKASI

p/s : bukan untuk di copy paste tetapi sekadar rujukan pembacaan dan membantu dalam meningkatkan kefahaman



Komunikasi lebih daripada sekadar berbicara secara lisan. Penampilan diri, nada suara, eye-contact, reaksi wajah, cara berjalan,semuanya merupakan komunikasi. Proses ini boleh berlaku di sekeliling kita sama ada secara sengaja atau.Ini kerana, komunikasi ialah proses yang melibatkan perasaan dan fikiran sama ada maklumat yang disampaikan,diterima dan difahami  dalam bentuk lisan mahupun bukan lisan. Kemahiran berinteraksi tidak hanya terhad di tempat kerja dan kelas, ia merangkumi semua tempat dan keadaan. Komunikasi yang sebenar seharusnya mampu menghubungkan individu dengan individu yang lain. Kemahiran berbicara dan mendengar juga turut memainkan peranan penting dalam semua jenis komunikasi

Mempunyai kemahiran komunikasi yang baik mempunyai banyak kepentingan dan kelebihan dalam hidup bermasyarakat termasuklah individu yang bergelar pelajar. Komunikasi memainkan peranan yang penting bagi seseorang pelajar. Ini disebabkan kerana komunikasi mampu melahirkan emosi dan buah fikiran. Lumrah seorang pelajar menjalani kehidupan yang penuh dengan buku, fakta dan kajian. Setiap hari pasti akan ada ilmu baharu yang dipelajari. Sepanjang proses itu, komunikasi memainkan peranan dalam membantu pelajar mencapai tahap yang diinginkannya. Individu bergelar pelajar yang mengamalkan komunikasi dengan baik seharusnya mampu untuk bertanya, merumuskan idea dan mengeluarkan fakta apabila memperoleh pandangan atau maklumat.

Percaya atau tidak, kemahiran mendengar misalnya, memberi impak yang besar dalam kehidupan seorang pelajar. Mendengar sering dianggap tingkah laku yang pasif kerana ia tidak melibatkan sebarang pergerakan. Namun, hakikatnya untuk menjadi pendengar yang baik ia memerlukan kesabaran yang tinggi . Lazimnya, antara aktiviti ketika kelas yang memerlukan kemahiran mendengar ialah pembentangan. Ia menunjukkan tahap professional seseorang pelajar, mengurangkan risiko salah faham serta mengekalkan hubungan interpersonal sama ada  antara pelajar dengan guru mahupun dengan rakan sekelas yang lain. Keberkesanan berkomunikasi interpersonal berkait rapat dengan persepsi diri. Brooks dan Emmert (1976), menyatakan konsep kendiri ialah suatu faktor penting dalam komunikasi interpersonal. Hamachek (1990), berpendapat konsep kendiri dan personaliti sebagai sinonim. Jelas di sini, individu yang mempunyai konsep kendiri positif biasanya dapat berinteraksi dengan orang lain dengan cara yang lebih baik. Kurang kemahiran berkomunikasi dan konsep kendiri boleh menyebabkan pelajar sukar membuat penyesuaian diri dan sukar menyelesaikan masalah.

Selain itu, komunikasi turut memberi impak terhadap  rangkaian perhubungan sosial dengan individu di sekeliling. Kemahiran komunikasi sangat berguna bagi  seorang pelajar atau mahasiswa khususnya apabila ingin berurusan dengan pegawai tinggi atau mereka yang berjawatan dalam sesuatu struktur organisasi. Lebih mencabar jika ada dalam kalangan mereka daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Mempunyai ilmu dan pengalaman bersama kenalan  berlainan budaya pastinya dapat membantu dalam berinteraksi dengan penuh etika dan berhati-hati serta mendapat maklumat berguna sekaligus mengembangkan minda pelajar.Maka tidak hairanlah jika komunikasi dikatakan perlu kepada praktikal dan tidak hanya bergantung pada teori semata. Tidak terkecuali, pelajar yang mempunyai hubungan baik dengan tuhan,ibu bapa dan rakan tidak mempunyai kesukaran untuk hidup di mana-mana sahaja.

Selain itu, jika dilihat kepentingan jangka masa panjang, pelajar yang rajin melibatkan diri dalam organisasi sewaktu di institusi pendidikan mampu menaikkan nama dalam dunia kerjaya yang penuh persaingan. Hal ini kerana mereka sudah didedahkan serta dilatih untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi kumpulan kecil dan organisasi dari awal lagi. Dalam majalah “Young Money” tulisan Jennifer Grubb bertajuk “Get that job” pada tahun 2002 menyatakan bahawa terdapat kajian menunjukkan perkara utama yang dilihat dalam diri seseorang pekerja ialah kebolehan berkomunikasi. Dunia kini tidak hanya melihat kepada prestasi akademik tetapi juga kemahiran komunikasi yang bagus. Di alam pekerjaan khususnya, hubungan upward and downward sentiasa dilakukan pekerja dengan majikan atau pihak atasan. Hubungan dua hala yang efektif mampu melahirkan sebuah organisasi yang menyumbang kearah kejayaan sesebuah syarikat atau institusi.

            
Kesimpulannya, komunikasi ialah satu aktiviti yang  dianggap mulia oleh Islam sebagaimana yang dijelaskan dari beberapa ayat Al-Quran dan Hadis: “Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat.” (Hadis) .“Dan hendaklah ada di atara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),  dan menyuruf berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat demikian adalah orang-orang berjaya.” (3:104 ). Maka, kita seharusnya mengambil berat terhadap peri pentingnya komunikasi dalam kehidupan seharian kita kerana ia melambangkan akhlak dan peribadi seorang muslim.



Rujukan :

1.             Roy M.Berko, Andrew D.Wolvin, Darlyn R. Wolvin.2004.Communicating a social and career focus. New York: Houghton Mifflin Company.
2.                  Http://eprints.utm.my
3.                 Http://sarjana.tripod.com